Al MANNA & TAYEBAT

PERLUKAH ANTIBIOTIK DALAM RAWATAN CIRIT-BIRIT?

Tayebat penawar cirit-birit. Al Manna & Tayebat Natural prebiotik Premium AA

Cirit-birit adalah suatu keadaan yang biasa dan kerap dialami oleh masyarakat secara umumnya. Ia berlaku kepada hampir semua individu tanpa mengira umur dan jantina. Menurut statistik Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO), cirit-birit adalah penyebab kematian kedua tertinggi dalam kalangan kanak-kanak bawah umur lima tahun. Kebanyakan kes kematian ini disebabkan oleh dehidrasi badan yang teruk berpunca daripada cirit-birit yang berpanjangan.

Definisi Cirit-birit
Definisi cirit-birit oleh WHO adalah; pembuangan najis lembut dan berair tiga kali atau lebih dalam sehari (atau pembuangan najis yang lebih kerap berbanding keadaan normal seseorang). Oleh itu, pembuangan najis yang lebih keras dan berbentuk atau keras tetapi kerap bukan diketegorikan sebagai cirit-birit. Begitu juga dengan najis kanak-kanak yang masih menyusu badan, ia juga bukan cirit-birit walaupun najis tersebut berkeadaan seperti berair.

Cirit-birit kebiasaannya adalah gejala bagi jangkitan salur pencernaan yang disebabkan oleh bakteria, virus atau parasit. Pesakit yang mengalami cirit-birit akibat jangkitan akan mengalami rasa loya, muntah-muntah dan kekejangan otot perut.

Punca-punca Berlakunya Cirit-birit
Isu kebersihan merupakan perkara pertama yang sering dikaitkan dengan cirit-birit. Kebanyakan kes, terutamanya di negara membangun, amalan minum air yang tidak bersih merupakan faktor utama cirit-birit berlaku. Selain daripada itu, sistem sanitasi yang kurang berkesan juga mendedahkan manusia kepada risiko terkena cirit-birit. Kanak-kanak lebih berisiko mengalami masalah ini kerana sistem penghadaman dan perkumuhan mereka yang masih belum matang sepenuhnya.

Bekalan air domestik yang tidak terawat dikhuatiri tercemar dengan mikroorganisma yang boleh menyebabkan cirit-birit. Bakteria seperti Escherichia coli, Vibrio cholera, Shigella spp, Salmonella spp dan Campylobacter spp adalah di antara bakteria yang diketahui boleh menyebabkan jangkitan salur pencernaan.

Kepentingan Rehidrasi Badan
Dehidrasi ialah perkara utama yang perlu diberi perhatian apabila kanak-kanak mengalami cirit-birit. Kanak-kanak yang mengalami cirit-birit akan kehilangan cecair badan dan elektrolit utama (natrium, klorida, kalium dan bikarbonat) melalui najis, muntah, peluh, air kencing dan pernafasan. Apabila kehilangan ini berlaku secara berterusan dan tidak digantikan, dehidrasi akan berlaku.

Rawatan utama bagi kanak-kanak yang mengalami cirit-birit ialah mengembalikan status hidrasi. Garam hidrasi (oral rehydration salt) atau lebih dikenali dengan singkatan ORS digunakan bagi tujuan ini. ORS mengandungi eletrolit utama dan sukros pada kepekatan yang rendah. Elektrolit berfungsi mengekalkan cecair dalam badan manakala gula berkepekatan rendah yang terdapat dalam minuman ini membantu menambah tenaga. Secara umumnya produk komersil ORS di Malaysia dipasarkan dalam saiz pek 55g dan perlu dibancuh dalam 250ml air.

Pihak WHO menyarankan agar kanak-kanak bawah umur dua tahun diberikan dos sebanyak satu per empat hingga setengah cawan bancuhan ORS. Kanak-kanak yang lebih dewasa pula diberi sebanyak setengah hingga satu cawan bancuhan ORS. Bancuhan ORS ini digalakkan untuk diberi kepada pesakit setiap kali selepas membuang air besar atau muntah.

ORS seharusnya diberikan seawal mungkin apabila pesakit mula menunjukkan gejala cirit-birit. Namun begitu, dalam kes cirit-birit yang agak serius, ORS sahaja tidak mencukupi untuk mengembalikan status hidrasi. Pesakit dalam keadaan seperti ini perlu dirawat sebagai pesakit dalam dan diberikan infusi cecair.

Penggunaan Antibiotik untuk Merawat Cirit-birit
Pendapat ramai menyatakan bahawa penggunaan antibiotik tidak diperlukan dalam kebanyakan kes cirit-birit. Kewajaran penggunaan antibiotik adalah perkara utama yang perlu dititik beratkan. Peningkatan kekebalan bakteria kepada antibiotik dan kejadian jangkitan berganda (suprainfection) menunjukkan bahawa keputusan memberikan antibiotik untuk pesakit cirit-birit perlu berdasarkan pemerhatian dan pemeriksaan menyeluruh oleh pihak doktor.

Secara umum, kanak-kanak yang mengalami gejala yang ringan dan mulai sembuh daripada cirit-birit tidak perlu dirawat dengan antibiotik. Antibiotik adalah pilihan dalam kes cirit-birit yang lebih serius dan berpanjangan.

Selain daripada itu, jenis mikroorganisma yang menyebabkan jangkitan salur pencernaan juga menentukan sama ada antibiotik diperlukan atau tidak. Sebagai contoh, antibiotik terbukti diperlukan bagi kes cirit-birit yang disebabkan bacteria jenis shigellosis spp dan kolera. Sebaliknya, bagi kes-kes yang disebabkan oleh bakteria jenis Escherichia coli dan Campylobacter spp pula, penggunaan antibiotik masih belum jelas tetapi boleh digunakan jika bersesuaian.

Ubat-ubatan Lain untuk Rawatan Cirit-birit
Suplimen seperti zink juga diketahui boleh membantu kanak-kanak yang mengalami cirit-birit. WHO baru-baru ini mengaitkan kekurangan zink dalam badan dengan risiko kanak-kanak terkena jangkitan salur pencernaan. Selain daripada itu, zink diperlukan dalam proses penghasilan protein dan sistem pertahanan badan. Dos yang dicadangkan ialah 20mg setiap hari untuk kanak-kanak enam bulan ke atas dan 10mg setiap hari bagi yang kanak-kanak berusia kurang enam bulan selama 10 hingga 14 hari.

Selain daripada itu, kajian terbaru juga menunjukkan pengambilan probiotik dalam dos yang tertentu boleh memberikan manfaat kepada kanak-kanak yang sedang mengalami cirit-birit. Probiotik yang mengandungi strain seperti Lactobacillus GG dan Saccharomyces boulardi bagus merawat cirit-birit berair akut dalam kalangan kanak-kanak dan bayi. Walau bagaimanapun, pakar berpendapat keberkesanan probiotik ini masih perlu dikaji dan probiotik bukan pilihan utama untuk rawatan cirit-birit.

Kesimpulan
Perlu diingatkan bahawa pengurusan cirit-birit perlulah menyeluruh dan tidak tertumpu kepada jangkitan semata-mata. Pesakit perlu dipastikan mengekalkan hidrasi badan. Antibiotik hanya diperlukan dalam keadaan tertentu berdasarkan pemeriksaan dan ujian yang telah dilakukan. Suplimen lain seperti probiotik dan zink pula boleh diambil untuk memberi kesan sinergi kepada rawatan utama yang diberikan.

Cirit-birit harus diuruskan dengan baik dan wajar supaya pesakit dapat sembuh dengan segera dan terhindar daripada kemungkinan komplikasi. Sebarang pertanyaan lanjut berkaitan ubat-ubatan, pesakit atau orang awam boleh menghubungi Pusat Panggilan Farmasi Kebangsaan (NPCC) melalui talian 1 800-88-6722.

Oleh:
Mohd Shahiri bin Abd Ghapar
Pegawai Farmasi
Bahagian Perkhidmatan Farmasi, Jabatan Kesihatan Negeri Pahang

Scroll To Top