Al MANNA & TAYEBAT

Prebiotik

gam arabik, pokok akasia, anr green distribution

Prebiotik adalah makanan atau baja untuk probiotik berkembang biak. 10 Sumbernya adalah makanan kaya serat (fibre) seperti buah-buahan, sayur-sayuran dan bijirin. Serat akan membantu untuk mengembang biak bakteria-bakteria baik. Dalam banyak-banyak serat, gum Arab mengandungi prebiotik yang paling tinggi. Gum Arab (Arabic gum) adalah getah yang keluar daripada pokok acacia. Ia dinamakan al-samghu. Dalam tafsir Ibnu Kathir, menurut Ibnu Abbas r.a. dan Mujahid, al-samghu itu adalah al-manna yang diturunkan kepada kaum Bani Israel semasa mereka sesat di padang pasir bersama Nabi Musa a.s. Menurut Syeikh Mutawalli al-Sya’rawi (wafat 1999) ulama Mesir terkenal, al-manna adalah butir-butir merah yang terhimpun pada daun-daun yang keluar waktu terbit matahari. 11 Dalam hadis yang diriwayatkan oleh Ibn Majah, Rasulullah s.a.w. bersabda; “Kam’ah (truffles) adalah sebahagian daripada al-manna dan airnya ubat bagi mata.” Daripada hadis tersebut, dapatlah difahami bahawa al-manna bukan hanya satu. Menurut Ibn alQayyim, al-manna yang Allah turunkan kepada kaum Bani Israel adalah makanan yang tumbuh liar tanpa perlu diusahakan. Jadi pokok acacia dan cendawan (truffles, kam’ah) yang keduanya tumbuh liar, menepati maksud al-manna.12 Al-manna dan salwa 13disebut 3 kali dalam al-Quran. “Dan Kami menaungi kamu dengan awan dan Kami turunkan kepada kamu manna dan salwa. Makanlah daripada makanan yang baik-baik yang telah Kami berikan kepada kamu. Dan tidaklah mereka menzalimi Kami akan tetapi mereka telah menzalimi diri mereka sendiri.”14 Namun kaum Bani Israil tidak berpuas hati dan merasa jemu dengan satu jenis makanan yang sama lalu meminta bermacam-macam jenis makanan lain. “Dan ingatlah ketika kamu berkata, “Hai Musa15, kami tidak sabar dengan satu jenis makanan sahaja. Sebab itu mohonlah untuk kami kepada Tuhanmu agar Dia mengeluarkan bagi kami daripada apa yang ditumbuhkan bumi iaitu sayur-sayurannya, mentimunnya, bawang putihnya, kacang adasnya (kacang dal) dan bawang merahnya. Musa berkata, Mahukah kamu mengambil sesuatu yang rendah sebagai ganti yang lebih baik. Pergilah kamu ke kota, pasti kamu memperoleh apa yang kamu minta. Dan ditimpalah atas mereka kepapaan dan kehinaan serta mereka mendapat kemurkaan daripada Allah. Hal itu terjadi kerana mereka selalu mengingkari ayat-ayat Allah dan membunuh para Nabi tanpa alasan yang benar. Demikian itu kerana mereka selalu derhaka dan melampaui batas.”16 Jelas sekali daripada ayat di atas, al-manna dan salwa adalah jauh lebih baik daripada makanan yang mereka biasa makan iaitu segala macam sayur-sayuran, mentimun, bawang putih dan merah serta kacang. Al-manna dan salwa itu adalah superfood. Jika al-manna adalah cendawan, tentunya ia cendawan yang luar biasa hebatnya. Antara cendawan yang terbaik adalah cendawan Ganoderma licidum. Orang Jepun menyebutnya Reishi atau Mannentake yang bermaksud 10,000 years mushroom. Orang China dan Korea menyebutnya Ling Chi atau Ling Zhi yang bermaksud Mushroom of Immortality.17 Ia dapat merawat barah, sakit jantung, diabetes, sendi, lemah syahwat, merendahkan kolestrol dan sebagainya.18 Jika benar gum Arab itu adalah al-manna, tentu ia bukan sekadar makanan biasa, tetapi boleh merawat pelbagai jenis penyakit. Gum Arab adalah getah daripada pokok acacia yang ditemukan di benua Afrika. Lebih 70 peratus gum Arab adalah dari negara Sudan. Ada 100 spesis acacia, yang setiap satunya ada keistimewaan masing-masing.19 Acacia gerrardii digunakan untuk merawat masalah gusi, demam. Acacia nilotica digunakan untuk katarak, cirit birit, diabetis, sakit gigi. Acacia senegal digunakan untuk bengkak, sakit kerongkong. Orang Baduwi yang hidup di tengah gurun serba kontang tanpa air, bergantung kepada gum Arab sebagai satu-satunya sumber makanan dan air. 6 aun gum Arab sudah cukup untuk menampung hidup dalam 24 jam. Ia digunakan dalam perubatan tradisi untuk merawat kegagalan buah pinggang. Ia juga digunakan untuk merendahkan kolestrol, gastrik, batuk dan sebagainya. 20 Apa pun jenis acacia, yang banyak dijual adalah Acacia senegal. Bolehlah cuba yang ini dulu. Caranya mudah, ambil satu atau dua sudu dan dibancuh air. Minum 2 kali sehari ketika perut kosong sebelum makan. Lepas minum, dijangkakan perut akan memberikan tindakbalas dengan mengeluarkan banyak angin. Keluar angin itu bagus. Ada sebuah filem komedi Indonesia bertajuk Kentut mengisahkan 2 calon pilihan raya yang bertanding untuk merebut jawatan bupati di kabupaten Kuncup Mekar. Salah seorang daripada calon telah ditembak ketika sedang berkempen dan dimasukkan ke hospital. Calon tersebut selamat tetapi doktor masih belum berpuas hati akan tahap kesihatannya selagi pesakit masih belum kentut. Jadi kentutnya itu jadi penentu sama ada dia sihat atau tidak. Jadi sambil-sambil minum gum Arab, berhiburlah dengan menonton filem Kentut. Akhir kalam enzim, probiotik dan prebiotik, ketiga-tiganya insyaAllah akan dapat merawat masalah perut dan sekali gus merawat banyak penyakit lain.

Bakteria Baik

Probiotic. ANR green distribution

Probiotik Pada akhir tahun 1800, Louis Pasteur dan ahli sains lain telah mengemukakan teori tentang kuman (germ theory). Antibiotik telah digunakan dengan jayanya untuk merawat penyakit akibat jangkitan kuman sejak akhir Perang Dunia ke 2. Namun selepas tahun 1960, seiring dengan kejayaan kibar bendara antibiotik mengalahkan kuman, berlaku peningkatan mendadak penyakit kronik yang tiada kaitan dengan kuman seperti alahan dan athma. Negara maju seperti USA, UK, Ireland, Australia, New Zealand dan Canada yang sangat menjaga kebersihan mencatatkan kadar pesakit athma tertinggi di dunia. Anehnya negara mundur seperti Afrika tidak mengalami masalah ini.7 Pada awal 1900, Ilya Mechnikov pemenang hadiah Nobel dalam imunilogi menemukan rahsia panjang umur petani Bulgaria walaupun mereka hidup dalam keadaan yang serba mundur. Diet mereka terdiri daripada makanan yang melalui proses penapaian (fermentation) seperti yogut dan keju. Ia mengandungi bakteria baik yang beliau namakan Lactobacillus bulgaricus. Bakteria baik adalah probiotik. Probiotik terdiri daripada 2 perkataan iaitu pro bemakna menyokong dan biotik bermakna kehidupan. Ia adalah lawan kepada antibiotik iaitu anti lawan dan biotik kehidupan. Populasi probiotik harus cukup banyak untuk mencapai kesihatan yang optima. Bayi mendapat probiotik daripada susu ibu. Orang Jepun ambil probiotik dengan minum Yakult yang dihasilkan oleh ahli sains Jepun Minoru Shirota pada 1930. Ia mengandungi bakteria Lactobacillus casei Shirota. Kalau sakit perut, cubalah probiotik sebagai ganti antibiotik. 8 Probiotik seperti Lactobacillus acidopilus, L. Bulgaricus, Streptococcus thermophilus dan Bifidobacteria membantu proses penghadaman sebelum sampai ke usus.9 Jadi kombinasi enzim dan probiotik adalah tiket untuk merawat banyak masalah berkaitan perut.

Bakteria Jahat

mati-makan-kenduri. anr distribution

99% hidupan mikro dalam usus manusia adalah bakteria, selebihnya 1% adalah kulat dan parasit. Ada bakteria jahat dan ada bakteria baik. Bakteria jahat menjadikan kita sakit. Pada 30 September 2013, akhbar melapurkan 3 maut dan 60 lagi dimasukkan ke hospital kerana keracunan makanan selepas menghadiri majlis perkahwinan di Kampung Huma Tanjung Dawai, Merbok, Kedah. Puncanya adalah ayam masak merah yang telah dicemari bakteria Salmonella. Pada 2004, Wall Street Journal melaporkan sebanyak 118,000 orang jatuh sakit setahun di USA disebabkan oleh telor ayam yang dicemari bakteria Salmonella. 6 Jadi berhati-hatilah bila makan ayam dan telor ayam. Bakteria ini membiak dengan kadar yang sangat cepat jika ayam mentah dibiarkan terdedah terlalu lama pada suhu biasa. Bakteria E.coli akan membiak 2 kali ganda dalam masa 20 minit pada suhu biasa. Jadi pastikan daging atau ayam disimpan pada suhu sejuk beku. Bila sakit, doktor akan beri antibiotik yang akan membunuh bakteria jahat. Penggunaan antibiotik dalam bidang perubatan bermula pada tahun 1950an selepas penemuan penisilin oleh Fleming, Florey dan Chain. Di samping membunuh bakteria jahat, antibiotik juga membunuh bakteria baik. Lebih malang lagi banyak makanan kita sarat dengan antibiotik. Ayam dan telor, haiwan ternak yang menghasilkan daging dan susu semuanya disuntik antibiotik. Di Amerika misalnya pada tahun 2000, 36% peratus penggunaan antibiotik adalah dalam bidang pertanian. Perlepasan air kumbahan yang sarat dengan sisa antibiotik menjadi sumber air yang menyerap dalam tanaman dan sayuran. Jadi antibiotik daripada makanan yang kita makan sehari-hari inilah yang paling banyak membunuh bakteria baik dalam badan manusia. Menyedari akan kesan buruk antibiotik, beberapa negara mengharamkan pengunaannya dalam haiwan ternak, misalnya Sweden pada tahun 1986, Denmark pada 2000 dan Kesatuan Eropah pada 2006.

ENZIM

the enzyme factor. anr green distribution.

Punca penyakit adalah daripada perut1 seperti yang disabdakan oleh Rasulullah s.a.w yang diriwayatkan oleh Al-Dailami: “Perut manusia itu tempat segala penyakit, manakala pencegahan itu pokok dari segala pengubatan.” Dr. Hiromi Shinya seorang pakar gastroenterologi dalam buku The Enzyme Factor mengatakan bahawa kesihatan manusia adalah ditentukan oleh enzim.2 Buku beliau dalam versi bahasa Jepun terjual sebanyak 2 juta naskhah dalam masa beberapa bulan. Sarannya, makanlah makanan segar kerana ia mengandungi enzim. Beras putih, daging proses, masakan yang dimasak berlebihan pada suhu tinggi, semuanya sudah kehilangan enzim. Makanan yang kehilangan enzim adalah makanan mati (dead food) yang membawa kepada seribu satu penyakit. Beliau telah memeriksa perut dan usus lebih 300,000 pesakit. Seorang yang sihat mempunyai keadaan dalaman perut dan usus yang bersih dan cantik.3 Jadi saran beliau: kunyah-kunyah-kunyah sampai 30 hingga 50 kali sebelum telan, supaya makanan lumat dan mengandungi enzim.4 Bukan itu sahaja, kunyah dengan sempurna akan membunuh parasit dalam mulut.5 Bukankah ini yang dianjurkan oleh Nabi. Bukankah ini yang pertama dilakukan pada bayi yang baru lahir iaitu ditahnik yakni menyuapkannya dengan sedikit tamar yang sudah dikunyah. Bila usia meningkat, banyak yang tak boleh dimakan sebab angin atau perut sudah tidak boleh terima. Ini berlaku kerana enzim penghadaman sudah menurun. Untuk membantu proses penghadaman, ambillah enzim yang banyak dijual sekarang.

Scroll To Top